Teknologi maklumat boleh ditakrifkan sebagai sebarang kaedah yang digunakan untuk memindah, menyebar dan memapar maklumat. Maklumat tersebut boleh wujud dalam pelbagai bentuk samada bentuk fizikal contohnya kertas dan buku, bentuk suara, paparan visual, pergerakan atau dalam bit. Perkembangan teknologi maklumat telah mencapai suatu tahap di mana ia mula menampakkan pengaruh tertentu di dalam kehidupan manusia terutamanya penduduk bandar. Pada asalnya, teknologi ini wujud sebagai satu perantaraan untuk mengedarkan pelbagai jenis maklumat untuk tujuan yang berlainan. Contohnya bagi pengiklanan, pemberitahuan, telekomunikasi dan sebagainya.
Peranannya sebagai agen perubahan tidak pernah berkurang tetapi
semakin bertambah lebih-lebih lagi dengan kewujudan komputer. Dewasa ini, ia telah berevolusi kepada bentuk yang menampakkan pengaruh yang lebih mendalam ke atas kehidupan manusia. Contohnya penggunaan rangkaian ‘internet’ telah dan berupaya menyebabkan perubahan yang besar ke atas aspek fizikal, ekonomi dan sosial melalui globalisasi serta berkembangnya modal antarabangsa kapitalis. Teknologi maklumat akan membezakan sebuah negara maju dengan sebuah negara sedang membangun(Arun, 1999).
Berikut merupakan pengaruh Teknologi Maklumat (IT) dari segi:
- Pengangkutan
- Pendidikan
- Perubatan
- Seni dan Hiburan
- Perindustrian, dan sebagainya
Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat, asas teoritikal tentangnya harus diperkembangkan. Bidang-bidang "teknologi maklumat" dan "sains komputer" dalam universiti dan politeknik nampaknya lebih kepada kaedah teknikal di sebalik proses intelektual(Laver, 1989). Kita masih agak kabur tentang konsep "maklumat". Kekurangan asas teoritikal yang kukuh akan menyukarkan lagi penjelasan fenomena berhubung dengan teknologi maklumat.
Justeru itu, dalam keasyikan Malaysia melancarkan era teknologi maklumat, rakyatnya harus diberi pendedahan tentang kesan baik dan buruk yang akan dibawa oleh teknologi maklumat. Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia memerlukan teknologi ini untuk bersaing dan berganjak kepada corak ekonomi baru namun masyarakat haruslah bersedia terutamanya secara mental untuk menerima kos dan faedah yang akan dijanakan.
No comments:
Post a Comment